Bagi tempoh antara Januari hingga September 2020 lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan mahkamah terhadap 48 pertuduhan salah guna media sosial.
Angka tersebut memperlihatkan peningkatan sebanyak 66% dan adalah lebih tinggi berbanding pada tahun 2019. Lebih malang, peningkatan ini berlaku ketika Malaysia berperang dengan pandemik COVID-19. Ketika dunia berperang dengan virus, MCMC berperang dengan viral.
Peningkatan dari segi bilangan pertuduhan di mahkamah menunjukkan ketegasan MCMC dalam menangani salah guna media sosial yang masih berleluasa dalam kalangan rakyat. Selain itu, tindakan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan persekitaran Internet yang selamat dan terjamin.
Dalam satu temubual, Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC Zulkarnain Mohd Yasin pernah menegaskan, tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyalah guna media sosial termasuk penyebaran berita palsu adalah perlu demi kebaikan semua.
“Ketegasan pihak MCMC dalam melaksanakan penguatkuasaan adalah penting bagi menghantar mesej jelas kepada si penyebar bahawa mereka yang terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang”
Daripada jumlah 48 tersebut, 34 pertuduhan adalah melibatkan kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dengan perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 22 pertuduhan.
Ini diikuti pula dengan kandungan jelik sebanyak sembilan (9) pertuduhan serta kandungan palsu sebanyak tiga (3) pertuduhan.
Manakala 14 pertuduhan yang selebihnya adalah merupakan kesalahan yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta KesalahanKesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, seperti yang diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara berpandukan kepada hasil keterangan yang diperoleh.
Kesalahan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook dan Twitter mencatatkan angka yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 14 pertuduhan dan ia diikuti rapat oleh WhatsApp sebanyak 13 pertuduhan sementara Instagram dan blog masing-masing mencatatkan bilangan terendah iaitu satu (1) pertuduhan sahaja.
Secara keseluruhannya, bagi tempoh sembilan (9) bulan pertama tahun 2020 sahaja, MCMC telah menerima sebanyak 178 Laporan Maklumat Pertama atau First Information Report (FIR) berkaitan dengan kesalahan penyalahgunaan media sosial, berbanding dengan hanya 139 yang diterima bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.
Sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Orang awam boleh membantu pihak berkuasa dalam hal ini dengan membuat aduan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun kepada MCMC melalui e-mel aduan iaitu aduanskmm@mcmc.gov.my, WhatsApp di talian 016-220 6262 ataupun Portal Aduan MCMC pada pautan https://aduan.skmm.gov.my/.
PenggerakDaily