PAS menegaskan semua 18 ahli parlimen parti itu menyokong penuh Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional sekarang.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, bahawa beliau mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.
“PAS mengganggap isu yang dibangkitkan oleh individu yang sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan serta cita-cita peribadi di samping ‘menangguk di air keruh’ ketika Kerajaan PN sedang menguruskan masalah Covid-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.
“Dalam hal ini PAS sekali lagi amat yakin Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) tidak akan melayan tindakan ‘desprados’ ini, sebaliknya baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara yang amat jelas,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin juga menggesa kerajaan mengambil “tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana pihak” yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, di samping mengakibatkan terjejasnya sektor ekonomi negara dari tindakan tersebut.
Manakala, Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional Annuar Musa pada hantaran di media sosial malam tadi berkata menjadi tugasnya melaksanakan dasar parti dan arahan pucuk pimpinan.
Annuar turut menegaskan antara dasar yang dipersetujui gabungan itu bahawa tidak ada kerjasama dengan Anwar, DAP dan Dr Mahathir Mohamad.
PenggerakDaily