Oleh: Ahmad Roi
Setiap 9 Oktober, penduduk bumi akan memperingati Hari Pos Sedunia.
Kenapa ada Hari Pos Sedunia, apa yang istimewa sangat dengan pos?
Ketika komunikasi digital belum muncul dalam masyarakat, pos adalah kaedah komunikasi paling arus perdana. Sebelum adanya wechat, whatsapp, email dll, pos surat jadi pilihan uda dan dara utuskan surat cinta, anakanda utuskan bonda surat rindu.
Peranan besar yang dimainkan ini menyebabkan berbagai negara merayakan Hari Pos Sedunia dengan pelbagai cara. Malahan ada negara yang mengisytiharkan cuti umum.
9 Oktober menjadi Hari Pos Sedunia telah ditetapkan Universal Postal Union (UPU) dalam sebuah kongres yang diadakan di Tokyo, Jepun pada tahun 1969.
Tarikh ini dipilih kerana 9 Oktober merupakan hari tertubuhnya UPU pada tahun 1874 di Bern, Swiss. Kalau pembaca hendak tahu, UPU sendiri merupakan organisasi antarabangsa tertua di dunia serta menjadi badan khusus di PBB sejak 1 Julai 1948.
Tujuan memperingati Hari Pos ini untuk membentuk kesedaran mengenai peranan pos dalam kehidupan seharian serta pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah negara. Ketika ini, lebih 650 ribu pejabat dan 5.3 juta pekerja pos di seluruh dunia.
Ketika berlakunya pandemik global COVID-19, perkhidmatan pos terus bergerak dan beradaptasi dengan cara dan kaedah paling efektif.
Memetik kata Pengarah Perhimpunan Pos Sedunia, Bishar Hussien, “kita perlu akui pengorbanan luar biasa yang dilakukan oleh operator pos dan staf mereka selama pandemik global COVID-19”.
PenggerakDaily