Berani dan kreatif, itulah pujian yang patut diberi kepada Selvakumar K. Tharmalingam dengan ideanya menjual petai sambil berpakaian seperti Spiderman.
Selvakumar K. Tharmalingam yang berasal dari Kampung Slim, Perak hanya berusia 22 tahun tetapi sudah gigih berusaha mencari rezeki dengan cara yang sungguh kreatif.
Menurut Selvakumar yang merupakan pelajar universiti dalam jurusan pentadbiran perniagaan, dia memilih untuk berpakaian seperti Spiderman kerana baginya, itu merupakan sesuatu gimik yang sesuai untuk menarik perhatian orang ramai supaya mereka membeli petai yang dijualnya.
Tambah Selvakumar yang mempunyai cita-cita untuk bekerja sebagai seorang polis, perniagaan ini bukan merupakan sumber utama pendapatan keluarganya, tetapi pendapatan tambahan ini mampu membantu keluarganya yang sudah berpecah-belah setelah ibu dan bapanya bercerai.
Selvakumar turut merasakan ia sesuatu hobi yang produktif untuk dilakukan sementara kuliah universiti masih dilakukan dalam talian.
Apabila ditanya mengenai cabaran, Selvakumar berkata perkara yang paling susah untuk dihadapi bukan memakai kostum Spiderman dalam suasana panas, tetapi lebih kepada menghadapi komen negatif segelintir pihak.
“Kadang-kadang ada sesetengah orang sakitkan hati saya, membuat saya sebagai bahan ejekan dan ada yang sengaja membuat saya rasa sedih kerana berpakaian lain daripada lain sambil menjual petai,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, dia tidak membiarkan komen-komen negatif itu memberi kesan kepada motivasinya kerana dia juga mendapat banyak komen-komen positif oleh netizen melalui media sosial yang juga sering membuatnya tersenyum.