JOHOR BAHRU: Perkhidmatan e-hailing baharu iaitu ‘airasia ride’ secara rasminya melebarkan perkhidmatan pengangkutan mereka ke empat bandar baharu iaitu Johor Bahru, Ipoh, Seremban dan Melaka bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Chiew Shan berkata, secara rasmi pihaknya kini telah beroperasi di tujuh buah buah bandar raya dengan seramai 30,000 pemandu berdaftar.
Katanya, langkah seterusnya adalah untuk memasuki bandar raya Kuching pada Januari sebelum ke Kota Kinabalu menjelang Februari tahun depan.
“Perluasan perkhidmatan serentak ke Johor Bahru, Ipoh, Seremban dan Melaka merupakan satu pencapaian membanggakan setelah pelancaran di Lembah Klang, Langkawi dan Pulau Pinang.
“Kami bangga kerana dapat terus berkhidmat kepada masyarakat setempat sekaligus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di bandar-bandar terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis ‘flag off’ yang diadakan di sini, hari ini.
Tambah Chiew Shan lagi, dalam masa sama pihaknya juga sedang merancang untuk menembusi pasaran empat negara antarabangsa di rantau ini sepanjang tahun depan.
“Dalam suku tahun pertama tahun depan, kita merancang untuk memperluaskan perkhidmatan pengangkutan darat ini ke Thailand terlebih dahulu.
“Kemudian ia akan diikuti dengan pasaran Indonesia, Singapura dan Filipina. Empat negara ini dalam perancangan kita untuk tahun depan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pihaknya menawarkan manfaat dengan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak terlibat iaitu penumpang dan juga pemandu.
“Bagi penumpang, airasia memang dikenali dengan tambang rendah, manakala bagi pemandu, kami hanya mengambil komisen sebanyak 15 peratus daripada setiap perjalanan dibuat, kurang berbanding syarikat e-hailing utama lain.
“Situasi ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terlibat dimana penumpang dapat ke destinasi mereka dengan tambang lebih rendah manakala pemandu dapat keuntungan lebih,” jelasnya.
Penggerak Daily