ISKANDAR PUTERI: Bajet Johor 2022 yang baharu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dipercayai mampu membantu kerajaan negeri mencapai hasrat untuk kembali merancakkan agenda pertumbuhan ekonomi setempat.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, perancangan teliti itu dilihat akan turut memberi limpahan manfaat kepada wilayah Iskandar Malaysia.
Katanya, pihaknya mempunyai pelbagai perancangan yang menepati strategi dan matlamat Bajet Johor 2022.
“Ini juga merupakan cabaran buat kami untuk meluaskan dan mempercepat pelbagai projek yang berada dalam perancangan untuk mencapai matlamatnya.
“Mengambil contoh sektor pertanian moden yang baharu diumumkan di wilayah ini dan dengan peruntukan RM34 juta diberikan Kementerian Kewangan kepada Johor, ia akan menjadi katalis untuk inisiatif berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan beberapa pihak yang berminat untuk pelaksanaan projek berkaitan sama ada syarikat domestik mahupun syarikat antarabangsa.
“Sementara itu, insentif khas buat sektor pelancongan dan penambahbaikan terhadap infrastruktur pelancongan serta pelan pemasaran juga boleh dilihat sebagai pelengkap kepada pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini.
“Perancangan bersifat inklusif yang menyentuh pelbagai golongan masyarakat itu bertepatan dengan tema Memperhebat Kesejahteraan Johor,” ujarnya.
Semalam, Hasni membentangkan Bajet Johor 2022 ketika berucap sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini.
Penggerak Daily