ISKANDAR PUTERI: Syarikat biofarmaseutikal berpangkalan di India, Biocon Sdn. Bhd. (Biocon) bakal menambah pelaburan bernilai RM1.1 bilion pembangunan fasiliti insulin baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, pelaburan tersebut bakal menjadikannya pengeluar insulin terbesar dunia.
Menurut beliau, pelaburan fasa kedua oleh syarikat itu juga bakal menawarkan lebih 300 pekerjaan berkualiti kepada penduduk setempat.
“Pelaburan dan inisiatif Biocon ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi tempatan tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi utama di Asia.
“Sejak 2016, mereka telah menyediakan lebih 87 juta kartrij insulin kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekaligus memberi manfaat kepada 300,000 pesakit diabetes di negara ini,” katanya selepas melawat fasiliti tersebut, di sini.
Tambah Ting Han, kehadiran syarikat tersebut di negara ini telah mengurangkan sehingga 40 peratus harga insulin di Malaysia sekali meringankan beban kos rawatan bagi rakyat tempatan.
“Selain pelaburan dan peluang pekerjaan, Biocon juga komited dalam pembangunan bakat tempatan melalui kerjasama dengan institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Newcastle University dan agensi-agensi kerajaan.
“Usaha dibuat melalui Biocon Academy bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja tempatan dalam sektor bioteknologi secara tidak langsung memastikan kelestarian dan pertumbuhan industri ini di Malaysia,” jelasnya.
Ting Han turut memaklumkan, Biocon telah melabur RM1.6 bilion dalam fasa pertama penubuhan fasiliti tersebut dengan penawaran hampir 900 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Lebih 97 peratus peluang kerja itu diisi oleh rakyat Malaysia, khususnya penduduk Johor. Majoriti jawatan tersebut memerlukan kelayakan dalam bidang bioteknologi, sains, kejuruteraan atau kemahiran khusus lain.
“Ini menunjukkan impak besar pelaburan syarikat tersebut terhadap pembangunan modal insan tempatan,” jelasnya.
Penggerak Daily