Categories
Business Ekonomi

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini sejajar dengan prestasi bursa serantau yang lain di celah-celah keyakinan berhubung rundingan mengenai pakej rangsangan AS.

Pada pukul 9.02 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.17 mata atau 0.27% kepada 1,508.01 daripada 1,503.84 ketika ditutup pada Jumaat petang.

Indeks utama dibuka 3.37 mata lebih tinggi pada 1,507.21.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi rugi dengan 309 berbalas 88, manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,464 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 390.21 juta unit bernilai RM148.76 juta.

Di pasaran serantau, Nikkei Jepun mengukuh 1.08% kepada 23,664.25, Indeks Komposit Shanghai menokok 0.13% kepada 3,336.36 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan lebih tinggi sebanyak 0.38% kepada 2,350.34.

Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat, selepas 3 hari berturut-turut mencatatkan penurunan, lantunan semula dijangka berlaku kerana pelabur akan mula membeli saham berharga murah.

“Pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China untuk suku ke-3 2020 juga boleh menjadi petunjuk utama kepada rentak pergerakan pemulihan ekonomi global dengan hanya 2 digit kes baru dilaporkan setiap hari sejak April 2020,” katanya.

Untuk fokus sektor, ia berkata, dengan negara di seluruh dunia masih lagi mencatatkan kes harian baru Covid-19 lebih tinggi, sektor penjagaan kesihatan akan terus menjadi tumpuan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik 1 sen kepada RM7.16, Top Glove meningkat 14 sen kepada RM9.39, Hartalega memperoleh 8 sen kepada RM18.46 dan Public Bank 4 sen lebih tinggi pada RM15.90.

Kaunter paling cergas dipimpin oleh AT Systematization yang naik 1 sen kepada 9.5 sen, Mah Sing menokok 11.5 sen kepada RM1.06, sementara Luster dan warannya masing-masing menambah 1.5 sen dan 2 sen kepada 19 sen dan 9.5 sen.

Saham paling untung, termasuk Nestle, menambah 40 sen kepada RM139.80, G3 Global meningkat 27 sen kepada RM3.27, Scientex menokok 16 sen kepada RM11.96 dan Rubberex lebih tinggi sebanyak 14 sen kepada RM2.71.

Antara saham paling rugi ialah Yinson turun 25 sen kepada RM5.18, Melati Ehsan jatuh 8 sen kepada 39.5 sen dan VS Industry berkurangan 4 sen pada RM2.48.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 32.77 mata kepada 10,970.84, Indeks FBMT 100 meningkat 29.96 mata kepada 10,770.18 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 43.18 mata kepada 13,183.79.

FBM 70 menambah 41.08 mata kepada 14,612.79 dan FBM ACE melonjak 93.40 mata kepada 11,065.28.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 26.96 mata kepada 12,436.63, Indeks Perladangan naik 10.43 mata kepada 6,868.94 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh keuntungan kecil sebanyak 0.48 mata kepada 144.08.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *