ISKANDAR PUTERI: Cadangan mewujudkan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini mampu menarik minat pelabur asing untuk meningkatkan sektor industri koko tempatan pada masa depan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodo, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ketika ini Malaysia lebih banyak mengimport biji koko dari benua Afrika dan memprosesnya sebelum dieksport kembali ke luar negara.
Menurut beliau, perkara itu mempunyai potensi tinggi sekaligus mampu meningkatkan pendapatan negara.
“Kita cuba lihat potensi untuk membawa pelabur luar masuk bagi memulakan syarikat atau kilang coklat di Malaysia dan menjadikan hab ini sebagai pusat pengedaran kepada negara serantau.
“Potensi besar dapat dilihat dari segi pengisaran biji koko berbanding penanaman koko dalam negara sendiri memandangkan kerumitan dalam prosesnya berkenaan,” katanya dalam sidang media yang diadakan selepas beliau Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini kelmarin.
Tambah Zuraida, ketika ini terdapat seramai 5,200 pekebun kecil koko yang beroperasi di Johor, Sabah dan Sarawak dengan pengeluaran tahunan berjumlah 1,000 metrik tan.
“Buat masa ini, terdapat empat syarikat tempatan yang menjadikan PTP sebagai hab sektor berkenaan antaranya melibatkan proses pengisaran sebanyak 460,000 metrik tan setahun yang diimport masuk.
“Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020 manakala kementerian yakin unjuran pendapatan eksport negara pada tahun ini sebanyak RM6.5 bilion mampu dicapai,” ujarnya.
Pada tahun lalu, Malaysia merupakan negara memproses biji koko kedua terbesar di Asia dan keenam di dunia yang menyumbang sebanyak tujuh peratus jumlah pengisaran dunia.
Penggerak Daily