JOHOR BAHRU: Petai, opak ubi kayu, biskut kelapa, air tebu dan cempedak antara produk tempatan yang akan dibawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena penganjuran Expo Malaysia Fest 2022 yang akan diadakan di Singapura pada 23 hingga 25 Ogos ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, produk tempatan itu merupakan permintaannya sendiri oleh pengguna bagi pasaran di republik berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM7 juta sepanjang tempoh empat hari ekspo berkenaan diadakan di Tapak Expo Changi, Singapura.
“Sebelum ini, kita telah melakukan satu kajian pasaran, apakah produk tempatan Malaysia yang dimahukan pengguna Singapura, dan hasilnya mereka mahukan produk tempatan yang popular di sesebuah negeri.
“Kita dapati pengguna di sana (Singapura) gemar membeli sesuatu produk yang mereka tahu asal usulnya, atau ‘origin of product’ sebelum mereka membuat sesuatu pembelian.
“Oleh itu, antara produk tempatan yang dihantar termasuklah petai Perak, keropok lekor Terengganu, kek lapis Sarawak, amplang Sabah, air tebu Negeri Sembilan, pes rendang tok Perak, mee siput Johor, opak ubi kayu Johor dan pelbagai buah-buahan eksotik serta sayur-sayuran lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Pelepasan Hantaran Produk ke Singapura sempena Expo Malaysia Fest 2022 di Pusat Operasi FAMA Negeri Johor, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya menjangkakan sambutan rakyat republik berkenaan terhadap program tersebut memberangsangkan ekoran kali terakhir ianya diadakan adalah pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia setahun kemudian.
“Edisi ke 2022 ini merupakan penganjuran kali kelima dimana ekspo pertama diadakan pada tahun 2016 dengan nilai jualan sebanyak RM4.5 juta sebelum ianya mencatat peningkatan jualan sehingga RM7.3 juta pada tahun 2019.
“Kali ini, setelah pelaksanaannya ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, kita menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM7 juta ekoran kejayaan yang dicatat sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang mendapat sambutan luar biasa, baru-baru ini.
“Selain sasaran nilai jualan sebanyak RM7 juta, kita juga menjangka ekspo empat hari itu akan membawa potensi eksport bernilai RM15 juta,” ujarnya.
Menurut Ahmad lagi, pihaknya menjangkakan kehadiran seramai 90,000 pengunjung ke ekspo yang mempromosikan sejumlah 3,000 jenis produk daripada 200 usahawan tempatan.