ISKANDAR PUTERI: Fasa pertama pelaksanaan zon bebas cukai di Forest City di sini akan bermula pada 15 November ini manakala fasa kedua dijangka bermula suku pertama 2025.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan zon bebas cukai itu akan dibantu dengan pengoperasian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City yang baharu.
Katanya, kompleks kastam tersebut merupakan antara yang tercanggih dalam negara bagi memastikan pergerakan keluar masuk ke pulau satu Forest City, lancar.
“Kompleks Kastam ini akan mula beroperasi pada 15 November ini. Ini adalah momentum yang kita hendak teruskan untuk Johor. Semasa pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri baru-baru ini, daripada 10 permohonan kita buat lapan daripadanya diluluskan.
“Sebagaimana kita bekerjasama membina kompleks Kastam di sini, sama-samalah kita bekerjasama membina Johor yang lebih maju dan gemilang,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City, di Hotel Marina, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV), Datuk Md. Othman Yusof dan Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Daing A. Malek.
Tambah Onn Hafiz, penggunaan teknologi terkini dalam Kompleks Kastam di Forest City ini selari dengan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Selain itu, saya akan mengetuai delegasi kerajaan negeri ke Dubai tidak lama lagi untuk melihat dan mempelajari industri kewangan di sana. Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur berpotensi di sana,” ujarnya.
Sementara itu, Md. Othman memaklumkan pihaknya telah bersedia dengan implementasi pulau satu Forest City sebagai zon bebas cukai.
“Kami yakin langkah ini akan menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara sekaligus akan meningkatkan industri pelancongan tempatan.
“Zon bebas cukai ini juga akan memacu pembangunan perniagaan dan ekonomi sekaligus memperkukuh keseluruhan rantaian industri khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi,” tambahnya.
Forest City telah diwartakan sebagai pulau bebas cukai pada September 2024 dan merupakan pulau bebas cukai kelima di Malaysia namun yang pertama boleh diakses menggunakan kenderaan darat.
Penggerak Daily