ISKANDAR PUTERI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Forest City, di sini akan dijadikan sebagai Zon Khas Kewangan baharu negara.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan pelaburan di kawasan berkenaan, sekaligus merancakkan sektor ekonomi setempat dan juga kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, Forest City dijadikan sebagai sebuah zon khas kewangan ekoran keistimewaan negeri ini yang berjiran dengan Singapura.
“Lokasi Johor adalah dekat dengan Singapura dan terdapat persaingan antara kedua-duanya, namun kita perlu lihat kepentingan bersama dengan saling melengkapi, kita harus ‘compliment’ satu sama lain dan manfaatkan sebaik-baiknya.
“Jadi pada hari ini, saya bersetuju buat pengumuman penting iaitu status Iskandar Puteri khususnya Forest City. Kita wujudkan Zon Khas Kewangan dengan persetujuan kadar cukai khas tetap sebanyak 15 peratus kepada kemasukan pekerja mahir asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Belanjawan 2024 Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tambah Anwar, pihaknya berharap perkara itu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai agensi peringkat pusat dan juga negeri.
“Semua jabatan kerajaan, pastikan perkara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, termasuklah soal Imigresen dan permit khas, saya tidak mahu ada sebarang alasan diberi dalam melengahkan perkara ini kerana dasar sudah diputuskan.
“Perkara ini juga selari dengan kerangka ekonomi Madani dan juga sinergi yang wujud di Johor. Ia berbeza dengan negeri-negeri lain dan kita boleh ambil kesempatan dengannya pencapaian Singapura.
“Kos percukaian lebih tinggi disana, pendidikan dan rumah yang tidak boleh ditanggung syarikat-syarikat besar, maka kita beri ruang kepada mereka di sini dengan syarat-syarat ditetapkan serta insentif, selain kemudahan lalu lintas yang baik,” ujarnya.
Johor merupakan negeri kedua selepas Melaka yang mengadakan sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan kerajaan negeri bagi mengumpul input berhubung Belanjawan 2024 yang bakal dibentang pada 13 Okt ini.
Sebelum ini, portal media asing melaporkan Forest City sebagai sebuah kawasan bandar tinggal apabila kurang daripada 10 peratus hartanah kediaman yang dijual dibeli.
Penggerak Daily