Categories
Business

FOREST CITY SAMBUT BAIK LANGKAH KERAJAAN JADIKAN SFZ

ISKANDAR PUTERI: Pemaju hartanah antarabangsa, Country Garden komited melakukan pelbagai penambahbaikan di Forest City, di sini sebagai menyokong pengumuman kerajaan mewujudkan Zon Kewangan Khas (SFZ) di kawasan berkenaan.

Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura, Fang Fang berkata, usaha itu penting dalam memastikan pihaknya dapat menarik kemasukan pelabur baharu menerusi inisiatif SFZ.

Katanya, antara penambahbaikan itu termasuklah memindahkan pusat pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedia ada ke lokasi baharu.

“Pemindahan lokasi pusat pemeriksaan itu akan dapat meningkatkan kelancaran pemeriksaan agensi berkaitan selain turut meningkatkan aspek penguatkuasaan di kawasan terbabit.

“Selain itu, beberapa projek infrastruktur berkaitan pengangkutan juga sedang rancak dibangunkan di kawasan sekitar, bertujuan untuk menambah baik akses keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

“Antara projek pengangkutan berskala besar yang diberi perhatian adalah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura dan sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) yang diharap turut melibatkan pembinaan stesen di sini,” katanya.

Pada 25 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Forest City akan dijadikan sebagai Zon Kewangan Khas baharu negara bertujuan untuk meningkatkan pelaburan di kawasan berkenaan, sekali gus merancakkan sektor ekonomi setempat dan kawasan sekitarnya.

Tambah Fang Fang, pihaknya juga telah mengambil langkah proaktif bagi menyokong pelaksanaan projek-projek tersebut khususnya melalui pelancaran perkhidmatan bas rentas sempadan secara rasmi, hujung tahun lalu.

“Selain itu, bagi menyokong penggunaan teknologi digital terkini di Forest City, kita juga sedang meningkatkan mutu jaringan internet selayaknya dengan matlamat menjadikan kawasan ini sebagai zon kewangan terbaik di rantau Asia Tenggara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fang Fang turut memberitahu, pihaknya menyokong pelaksanaan sistem kod QR tanpa menggunakan pasport di sempadan antarabangsa negara ini bagi membolehkan pemeriksaan dibuat lebih lancar.

“Penggunaan sistem yang melibatkan kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Singapura itu dilihat sebagai langkah yang boleh melancarkan pergerakan rentas sempadan sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai dan juga barangan dagangan,” jelasnya lanjut.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *