JOHOR BAHRU: Hanya dianggarkan 10 peratus daripada keseluruhan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan telah mendaftarkan produk mereka, termasuk logo dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pengerusi MyIPO, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 65,660 permohonan dibuat dengan 51,591 daripadanya telah didaftarkan.
Manakala bagi tahun 2023, 61,600 permohonan untuk dipatenkan bawah MyIPO dengan lebih 45,000 daripadanya didaftar.
“Jumlah PKS tempatan yang telah mempatenkan produk dan jenama mereka masih kecil berbanding seramai lebih 200,000 usahawan tempatan di Malaysia.
“Sehubungan itu, kami telah menetapkan sasaran sehingga 70,000 pendaftaran termasuklah syarikat PKS dan juga individu bagi melindungi jenama mereka, tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program MyIPO di Hati yang diadakan di Masjid Taman Pulai Indah, di sini hari ini.
Sementara itu, karya kesusasteraan mencatat jumlah permohonan hak cipta tertinggi sepanjang tahun lalu dengan 7,382 permohonan dibuat berbanding bidang-bidang lain di negara ini.
Menurut Mohd. Zuhan, ini diikuti dengan 993 permohonan bagi bidang seni, manakala 329 permohonan dalam bidang perfileman.
“Hanya RM2,000 dikenakan bagi pendaftaran hak cipta yang memberi perlindungan seumur hidup kepada pengkarya, termasuk 50 tahun selepas pemilik hak cipta meninggal dunia.
“Dalam tempoh sama, bidang muzik mencatat 95 permohonan hak cipta, dengan 65 permohonannya melibatkan rakaman bunyi iaitu yang terendah,” ujarnya.
Tambah beliau, hak cipta adalah penting terutama bagi golongan artis seperti penulis kerana karya mereka dapat dilindungi bagi mengelakkan tindakan plagiat atau peniruan.
“Jika seseorang tidak mendaftarkan karya mereka untuk hak cipta, sukar bagi pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak ketiga yang menyalah gunakannya,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily