JOHOR BAHRU: Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) yang disatukan dengan pelbagai agensi-agensi kerajaan negeri ini akan menyokong pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya yakin inisiatif JS-SEZ itu mampu menjadi ‘game changer’ serta pemangkin kepada ekonomi Johor.
Menurut beliau, IMFC telah ditubuhkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tahun lalu, bertujuan untuk menyelaras semua aspek pelaburan di negara ini.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri berhasrat penubuhan IMFC disatukan dengan agensi-agensi Johor. Kita telah memohon kepakaran MITI bagi membantu kerajaan negeri menjayakan inisiatif ini di bawah kerangka JS-SEZ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Lumpur, semalam.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya turut membincangkan berhubung perincian polisi JS-SEZ termasuklah mengoptimumkan insentif dan struktur cukai, menggalakkan pelaburan berunsurkan kelestarian alam sekitar; mewujudkan kolaborasi teknologi dan inovasi serta memudah integrasi dan kerjasama kedua-dua negara dalam pasaran global.
“Semua idea dan cadangan ini telah diambil maklum, malah ditambah baik oleh Menteri serta pihak kementerian sendiri. Koordinasi antara pihak kementerian serta kerajaan negeri amat penting dalam memastikan segala gerak kerja selari serta mengikut garis masa yang ditetapkan.
“Semoga perancangan ini membuahkan hasil dalam memastikan Johor mampu menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030,” tambahnya.
Pada 11 Jan lepas, Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman untuk menjayakan JS-SEZ bagi mengukuhkan hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura.
Penggerak Daily