PASIR GUDANG: Kerajaan negeri komited untuk memastikan sektor ekonomi Johor kembali berdaya saing pasca pandemik Covid-19 termasuk menarik kehadiran pelabur khususnya melalui pelaksanaan inisiatif Greater JB (Johor Bahru).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, inisiatif berkenaan akan menyaksikan penyelarasan melibatkan empat berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru; Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan juga Majlis Perbandaran Kulai.
Menurut beliau, usaha itu turut melibatkan beberapa penambahbaikan yang akan mengurangkan karenah birokasi bagi syarikat yang mahu menjalankan perniagaan di negeri ini.
“Greater JB ini tujuannya adalah untuk menyelaraskan perkhidmatan kepada rakyat melibatkan sistem perlesenan, perkhidmatan, cukai melalui langkah ‘fast track’ yang akan dilancarkan Menteri Besar hujung bulan ini.
“Langkah ‘fast track’ ini akan beri kelulusan segera terhadap sektor industri dan pelabur yang datang ke Johor, tujuannya adalah untuk mengurangkan birokasi.
“Kalau dulu buat kilang kena tunggu kilang siap baru mesin boleh masuk, yang akan diimplementasikan ini adalah kilang siap 80 peratus mesin sudah boleh masuk dan diuji.
“Kemudian, sebelum kilang siap sudah boleh membuat permohonan untuk mendapatkan lesen Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), sebelum ini kena tunggu kilang siap dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Menara Aqabah di sini, hari ini.
Tambah beliau, sementara itu, kaedah ‘fast track’ berkenaan juga akan menyaksikan lesen akan diberi dalam tempoh sehari berbanding dua minggu buat industri yang tidak berisiko.
Sementara itu, Mohd. Jafni turut memberitahu, inisiatif Greater JB juga akan memberikan impak terhadap sudut sosial, kebersihan dan juga keselamatan penduduknya.
“Kita akan turut lakukan penambahbaikan terhadap aspek lanskap termasuklah di Bangunan Sultan Iskandar untuk mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negeri ini.
“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa,” jelasnya.
Penggerak Daily