JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat Johor khususnya golongan belia yang terkesan dengan pandemik Covid-19 untuk kembali mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka.
Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, menerusi Iskandar Malaysia Youth Entrepreneur Scheme (IMYES), seramai 100 usahawan belia telah dilatih dalam pelbagai aspek keusahawanan.
Menurutnya, selain penyerahan geran bernilai RM500,000, program dilaksana sejajar dengan agenda kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan inklusif terhadap Wilayah Iskandar.
“Iskandar Malaysia mempunyai agenda untuk membantu dan membangunkan golongan belia yang dizahirkan melalui pelbagai inisiaitif dan program.
“Program IMYES yang dilaksanakan Iskandar Youth Hub Sdn. Bhd. melalui dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ini menyaksikan setiap usahawan menerima geran RM5,000, latihan kemahiran dalam lapan modul termasuk keusahawanan, kewangan, penjualan dan pemasaran, dan tren terkini dalam digitalisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan geran kepada 100 belia yang terlibat dengan program berkenaan di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.
Tambah Badrul Hisham, pelbagai program telah dilaksana menjurus kepada pemerkasaan golongan belia berdasarkan kepada rangkakerja pembangunan belia Iskandar Malaysia.
“Di bawah rangka kerja ini, pemerkasaan belia berteraskan kepada belia sebagai penerima manfaat, belia sebagai rakan strategik dan belia sebagai pemimpin.
“Ini adalah aspek penting yang akan menambah nilai kemampuan belia untuk membangun dengan lebih menyeluruh dan menyumbang semula kepada masyarakat,” ujarnya.
Penggerak Daily