ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri merancang untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai sebuah bandar metropolitan yang akan berfungsi sebagai pusat ekonomi moden dan inovasi negara ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu bakal merapatkan jurang ekonomi antara Johor dan pusat ekonomi utama lain di negara ini.
“Johor kini sedang giat memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Semua inisiatif dibuat bakal meningkatkan keterhubungan strategik, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Onn Hafiz memberitahu pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030, termasuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Katanya, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Khazanah bertujuan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan demi kemajuan Johor serta kesejahteraan rakyatnya yang berbilang kaum.
“Khazanah telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur, hartanah, pelancongan, pendidikan dan pembangunan bakat melalui pembangunan Medini, Puteri Harbour, Gerbang Nusajaya dan Desaru melalui IIB, UEM Sunrise serta Desaru Coast.
“Manakala dalam sektor pendidikan, Khazanah membangunkan EduCity sebagai hab pendidikan antarabangsa selain menjadikan Desaru Coast sebagai destinasi pelancongan premium di rantau ini,” tambahnya.
Penggerak Daily