ISKANDAR PUTERI: Johor mencipta sejarah apabila merekodkan terimaan hasil tertinggi pernah dicapai kerajaan negeri iaitu melebihi RM2 bilion bagi tahun 2024.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sehubungan itu berkata, Belanjawan Johor 2025 bertemakan ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’ itu merupakan belanjawan surplus iaitu sebanyak RM5.12 juta.
“Bagi tahun 2025, kerajaan negeri mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM 2.005 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM 201 juta atau 11 peratus berbanding unjuran tahun
202
“Unjuran perbelanjaan kerajaan negeri pada tahun 2025 adalah sebanyak RM1.999 bilion. RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan Belanja Mengurus manakala RM728 juta pula diperuntukkan bagi tujuan Belanja Pembangunan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, Belanjawan Johor 2025 ini digubal dengan berpegang kepada prinsip bahawa segala perancangan dan pelaksanaan adalah demi kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
“Ekonomi Johor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan perkembangan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.1 peratus pada tahun 2023. Angka itu melepasi paras pertumbuhan nasional 3.6 peratus dengan nilai KDNK berjumlah RM148.2 bilion pada tahun 2023 berbanding RM142.4 bilion pada tahun 2022.
“Prestasi Johor juga dibuktikan dengan: peningkatan jumlah import sebanyak 16 peratus kepada RM290 billion berbanding tahun lepas; peningkatan import dan eksport berjumlah RM561.6 bilion; pertumbuhan sektor pembinaan terus dengan nilai RM17.1 bilion berbanding RM10.8 bilion dalam tempoh sama tahun lepas dan kadar pengangguran kekal pada kadar yang rendah iaitu 2.3 peratus pada suku ketiga tahun ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM4.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Rolling Plan ke-5 (2025) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 melibatkan 143 projek baharu dan 433 projek sambungan.
“Dalam tempoh dua tahun, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM113.7 bilion sekaligus menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu.
“Manakala dengan inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana,” ujarnya.
Penggerak Daily