JOHOR BAHRU: Johor kekal menjadi destinasi tumpuan yang menarik buat pelaburan sama ada daripada syarikat tempatan mahupun syarikat asing selepas secara konsisten menerima kemasukan pelabur.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terbaharu, syarikat penghasil makanan agritek dari Singapura, Archisen Pte. Ltd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Farmbyte Sdn. Bhd.
Menurut beliau, syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat milik Johor Corporation (JCorp).
“Archisen merupakan syarikat pertanian moden terkenal yang telah mengendalikan salah satu ladang dalaman dengan hasil tertinggi di Singapura dengan unjuran hasil sehingga 100 tan sayur-sayuran setahun.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri yakin hasil kerjasama ini mampu merealisasi Pelan Strategik Agromakanan JCorp dan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan di Menara Komtar, di sini semalam.
Tambah Onn Hafiz, antara tujuan MoU tersebut termasuklah memodenkan sektor agromakanan, menaik taraf hidup petani serta meningkatkan pengeluaran hasil tanaman berkualiti tinggi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa JCorp akan terus kekal teguh dan berdaya saing dalam memastikan segala pelaksanaan projek berimpak tinggi direalisasi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Farmbyte Sdn. Bhd., Syed Aiman Kifli Syed Jaafar memberitahu, pihaknya teruja untuk menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat agromakanan yang menjadikan penggunaan teknologi sebagai asas untuk beroperasi.
“Kepakaran dimiliki Archisen Pte. Ltd. dalam menyelesaikan masalah pertanian moden selari dengan visi kami untuk merubah landskap pertanian khususnya di Johor.
“Kami percaya langkah ini akan membantu meningkatkan hasil produktiviti petani-petani tempatan yang terlibat, sekaligus menaik taraf tahap kehidupan mereka,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily