ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor komited untuk memastikan wilayah Iskandar Malaysia kekal sebagai destinasi tarikan pelabur tempatan dan antarabangsa yang utama di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, komitmen itu kekal walaupun Malaysia dan Johor telah mengalami kelembapan ekonomi sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, hal itu kerana kerajaan telah membuat pelaburan besar untuk membangunkan wilayah berkenaan termasuk menyedia infrastruktur asas bertaraf antarabangsa.
“Walaupun ekonomi negeri terkesan akibat pandemik Covid-19, namun saya maklumkan Johor tetap komited untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur.
“Dengan infrastruktur asas lengkap, dan pelbagai perancangan masa depan melibatkan Sistem Transit Bas Deras (BRT), Projek Sistem Transit Rapid (RTS), cadangan pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan juga perancangan menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, kita yakin hasrat itu dapat dilaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Common Ground Iskandar Space di Medini 6, di sini semalam. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.
Hasni turut memberitahu, perancangan untuk membangunkan semula HSR ada dibincangkan antara kepimpinan tertinggi kedua-dua negara namun ianya perlu dimulakan daripada awal semula.
“Johor memberi sokongan penuh kepada idea berkenaan dan perjanjian baharu itu kelak perlu lebih kukuh bagi membolehkan ia dijayakan sekaligus memberi manfaat kepada Johor dalam usaha menjadi negeri membangun di negara ini,” ujarnya.
Tambah Hasni lagi, hasrat menjadikan Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan adalah melibatkan pelbagai sektor dan bukannya hanya tertumpu kepada beberapa sektor utama sahaja.
Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk kerajaan dan masyarakat kembali bangkit dengan sikap dan pendekatan positif walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.
Penggerak Daily