KULAI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi percaya Johor sedang memasuki era emas ketika ini khususnya dengan kemasukan pelaburan-pelaburan syarikat antarabangsa ketika ini.
Menurut beliau, perkara tersebut bukan angan-angan kosong sebaliknya bersandarkan kepada statistik ditunjukkan khususnya melibatkan kemasukan pelaburan.
“Saya tidak cakap ini kerana bermimpi tetapi melihat situasi semasa di Johor, kita ada infrastruktur dan pelabuhan terbaik sama ada pelabuhan laut atau pelabuhan udara.
“Selain daripada itu, inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal ditandatangani pada 8 atau 9 Disember ini juga akan meningkatkan lagi ekonomi Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific Sdn. Bhd. Regional Logistics Center Malaysia
Turut hadir, Ketua Operasi Logistik Global Parts Mercedes-Benz, Klaus Ziemsky.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri komited untuk memudahcara proses membuat pelaburan di Johor menerusi inisiatif ‘Kulai Fast Lane’ yang akan diperluas dengan nama Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC).
“‘Kulai Fast Lane’ telah memudahkan kemasukan lebih 38 pelaburan bernilai RM52 bilion. Pelaburan daripada Mercedes-Benz ini salah satu daripadanya dan ia bernilai RM1.5 bilion.
“Bermula daripada persetujuan pelaburan sehingga kepada majlis pembukaan pusat logistik ini, ia hanya memakan tempoh 23 bulan berbanding biasa yang memakan waktu lebih lama,” ujarnya.
Pada masa sama beliau turut berkata keputusan Mercedes-Benz melabur di Johor membuktikan tarikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik dan bernilai tinggi di peringkat global.
Sementara itu, Ziemsky pula memberitahu, pusat logistik itu akan menyeru perkhidmatan kepada lebih 20 buah negara yang menempatkan perniagaan Mercedes-Benz di Asia Pasifik.
“Kerjasama antara Mercedes-Benz dan Malaysia telah mula terjalin sejak 2003 lagi dan kini ia dikembang dan terus diperkukuhkan. Kami berharap kerjasama ini akan terus memacu kecemerlangan kepada kedua-dua pihak,” jelasnya.
Penggerak Daily