ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan penerimaan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara bagi tahun 2022, iaitu sebanyak RM70.6 bilion.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemasukan pelaburan tersebut akan menghasilkan lebih 12 ribu peluang pekerjaan dan peluang-peluang perniagaan kepada penduduk negeri ini.
Sehubungan itu katanya, pihaknya mengucap terima kasih atas kerja keras agensi kerajaan negeri dan pusat yang berjaya menghasilkan kejayaan tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, Johor mencatatkan penerimaan FDI tertinggi dalam negara bagi tahun 2022, iaitu sebanyak RM70.6 bilion.
“Pelaburan-pelaburan ini pula akan menghasilkan lebih 12 ribu peluang pekerjaan dan peluang-peluang perniagaan kepada rakyat Johor dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han atas kejayaan tersebut.
“Tidak dilupakan juga kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor, serta semua agensi lain di peringkat persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan berhenti selain akan meneruskan komitmen dalam memastikan Johor terus menjadi destinasi pelaburan utama di rantau ini.
“Kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan akan terus mengorak langkah demi memajukan negeri Johor yang kita cintai ini,” tambahnya.
Pada tahun 2022, Johor merekod jumlah pelaburan tertinggi diikuti Selangor dengan Pelaburan sebanyak RM60.1 billion; Sarawak (RM28.2 billion); Kuala Lumpur (RM25 billion) dan Penang (RM16.3 billion).
Penggerak Daily