KULAI: Anak syarikat Johor Plantations Group Berhad (JPG) iaitu JPG Greenergy Ventures Sdn. Bhd. telah dianugerahkan status syarikat BioNexus oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang berkata, pengiktirafan itu menandakan pencapaian cemerlang syarikat berkenaan dalam mengubah sisa kilang sawit menjadi biometana yang bernilai selari dengan komitmen kerajaan bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050.
“Dengan kemajuan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui, penjanaan biometana melalui pemprosesan sisa juga sedang merintis jalan ke arah pengeluaran sumber tenaga yang bernilai lebih tinggi seperti biomethanol dan hidrogen.
“Oleh itu, pengiktirafan ini membolehkan syarikat seperti JPG terus membangunkan dan mencipta teknologi baharu yang boleh membawa Malaysia mencapai matlamat menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
“Bioteknologi juga merupakan satu pemudah cara yang bukan sahaja menyedia penyelesaian kepada pengurusan sisa namun juga menyumbang kepada agenda yang lebih besar untuk dekarbonisasi,” katanya selepas melawat loji syarikat itu di Sedenak, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd. Khairul Fidzal Abdul Razak dan Pengarah Urusan JPG, Mohd. Faris Adli Shukery.
Tambah Lih Kang, pihaknya menggesa lebih banyak pemain industri untuk memanfaatkan potensi pengurusan sisa untuk mempercepatkan agenda kelestarian di Malaysia.
“Malaysia mempunyai kira-kira 450 kilang dengan 10 projek biogas yang serupa dengan JPG, dengan jumlah ini kita anggarkan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 1.2 juta tan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Faris pula memberitahu, JPG komited menjadi sebahagian daripada pemain industri yang menyokong usaha mengurangkan pelepasan CO2 melalui teknologi tenaga boleh diperbaharui.
“Status BioNexus ini meletakkan kami di kedudukan baik untuk terus berinovasi dalam sektor bioekonomi negara,” jelasnya.
Penggerak Daily