JOHOR BAHRU: Kejatuhan nilai ringgit ekoran kemelesetan ekonomi global diyakini tidak menjejaskan potensi pelaburan asing di Johor sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan, Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, perkara itu bersandarkan sebanyak 200 projek berimpak tinggi yang diterima kerajaan negeri, setakat 31 Mac lalu.
Menurut beliau, antara sektor yang menerima paling banyak pelaburan termasuklah pembuatan, elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan serta kimia dan petrokimia.
“Sepanjang tahun lalu, Johor menerima pelaburan berjumlah RM43 bilion melalui pelaksanaan 751 projek. Kita yakin Johor akan merekodkan jumlah pelaburan asing yang baik tahun ini kerana setakat Mac, kita telah terima 200 pelaburan asing setakat ini.
“Walaupun nilai ringgit jatuh di peringkat global, namun kadar pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di negeri ini masih menunjukkan trend positif,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bazar Ramadan Taman Perling, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Tambah Ting Han, pelaksanaan beberapa projek berskala besar di negeri ini juga dijangka akan dapat menarik kemasukan lebih banyak pelaburan asing baharu ke Johor pada masa depan.
“Projek pembangunan seperti pelebaran Lebuhraya Utara Selatan yang akan bermula Jun ini selain pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru yang akan bermula September ini akan rancakkan lagi ekonomi setempat.
“Kita juga bakal menandatangani perjanjian khas melibatkan Malaysia dan Singapura berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain Zon Kewangan Khas di Forest City dan banyak lagi,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, kemasukan pelbagai pelaburan asing ini akan beri manfaat secara langsung kepada kemakmuran negeri khususnya peningkatan taraf hidup penduduk melalui peluang pekerjaan berkualiti yang diwujudkan.
“Tahun lalu sahaja, sebanyak 19,000 pekerjaan baharu dihasilkan daripada kesemua pelaburan asing yang masuk ke negeri ini, manfaatnya diterima semua penduduk Johor,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily