ISKANDAR PUTERI: Pelancaran laman Ujian Dron Iskandar Investment Berhad (IIB) bakal menarik pelaburan bernilai RM350 juta melibatkan pelabur asing dan domestik menjelang tahun 2025.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, selain itu ia juga dijangka akan menarik kemasukan 70 syarikat dron yang akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menurutnya, inisiatif berkenaan secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi setempat dan mengukuhkan kedudukan Iskandar Malaysia sebagai Hab Digital Johor.
“Untuk mengukuhkan lagi agenda ini, saya menyeru IIB dan pemain industri dron dan robotik sedia ada untuk memberikan tumpuan dalam pembangunan bakat generasi muda.
“Suka atau tidak kita perlu memastikan generasi muda mahir dengan kemahiran dan ilmu teknikal agar mereka dapat terus menyumbang dalam industri yang telah dimulakan generasi kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Laman Ujian Dron Iskandar IIB di Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini hari ini. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Tambah beliau, kedudukan strategik, persekitaran mesra pelabur, infrastruktur asas lengkap dan modal insan di sekitar Iskandar Puteri berupaya menjadi batu loncatan pembangunan ekonomi Johor.
Sementara itu, Khairil Anwar pula memberitahu, pembukaan Laman Ujian Dron IIB di atas tanah seluas lebih 687 hektar akan menjadi faktor utama dalam menyokong kerajaan negeri merealisasikan agenda digital ekonomi.
“Kami berhasrat menyediakan pereka inovasi persekitaran holistik yang membolehkan mereka menguji produk dihasilkan dan mendapatkan pengesahan pihak berwajib sekaligus meningkatkan pembangunan sudut kreativiti dan inovasi teknologi dron,” ujarnya.
Penggerak Daily