JOHOR BAHRU: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memperkenalkan varieti nanas baharu untuk dihasilkan secara besar-besaran, bulan depan.
Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, variasi baharu itu akan dihasilkan dengan sasaran untuk menembusi pasaran eksport antarabangsa.
“Ketika ini persiapan sedang dilakukan sebelum varieti baharu itu diumum secara rasmi, kita dalam proses menyediakan benih-benih yang diperlukan untuk variasi itu ditanam secara besar-besaran.
“Buat waktu ini, Malaysia menghasilkan 16 varieti nanas, namun hanya empat sesuai untuk pasaran eksport iaitu nanas MD2, N36, Morris dan Josepine. Jadi selepas varieti baharu itu diperkenalkan, kita akan ada tambahan satu lagi variasi nanas yang dieksport besar-besaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030 di Hotel Trove, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah LPNM, Mohd. Khairuzamri M. Salleh; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPNM, Linda Buang dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPNM, Onn Abdul Shukor Tahiruddin.
Sementara itu, Sheikh Umar Bagharib turut memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan eksport produk nanas Malaysia berjumlah RM1.3 bilion bagi tahun 2023.
“Ketika ini, Malaysia menghasilkan kira-kira antara 400,000 metrik tan hingga 600,000 metrik tan nanas setiap tahun, namun hanya mampu membekal kira-kira 0.25 peratus permintaan produk nanas dunia.
“Sasaran kita adalah untuk berupaya mengeluarkan sebanyak 700,000 metrik tan nanas setahun menjelang 2025.
“Sehubungan itu, perancangan telah dimulakan untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran nanas bukan sahaja untuk memenuhi pasaran domestik, tetapi juga untuk menembusi lagi banyak pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sheikh Umar Bagharib turut memberitahu, antara negara utama yang mengimport produk nanas Malaysia termasuklah Singapura, Mesir, China, Jepun, Arab Saudi dan juga Emiriah Arab Bersatu.
Penggerak Daily