ISKANDAR PUTERI: Malaysia telah menerima pelaburan terkumpul sebanyak RM76 bilion dalam pembangunan pusat data di seluruh negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu adalah pelaburan dibuat sejak tahun 2021 hingga Mac, tahun ini.
Menurut beliau, kemasukan pelaburan tersebut selari dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai sebuah hab pusat data di rantau Asia.
“Sekarang ni sudah banyak (pelaburan melibatkan pusat data), jadi bila kita lihat pada pertumbuhan, memang besarlah. Sasaran kita adalah menjadi hab pusat data bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, tetapi di Asia.
“Antara faktor yang mendorong pelaburan pusat data di negara ini termasuklah dasar kerajaan dan galakan mengenai tenaga boleh diperbaharui (RE), tanah serta ekosistem ekonomi digital sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kampus Pusat Data GDS NTP di Taman Teknologi Nusajaya, di sini hari ini. Turut hadir, Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.
Tambah Tengku Zafrul, komitmen diberikan pemain industri berkaitan menerusi perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) antara TNB dan empat pemain pusat data utama melibatkan bekalan tenaga elektrik dengan jumlah kapasiti 1,500 megawatt (MW).
Sementara itu, dalam ucapannya, Tengku Zafrul memberitahu bahawa sektor ekonomi digital kekal sebagai penyumbang utama kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara, iaitu RM348 bilion bagi tahun 2021, kira-kira 23.2 peratus.
“Sektor ekonomi digital dijangka akan terus meningkat menjelang 2025, dengan anggaran pelaburan sebanyak RM382 bilion, atau kira-kira 25.5 peratus GDP tahun berkenaan.
“Manakala bagi pelaburan pusat data pula, kita jangka peningkatan pelaburan sebanyak 16 peratus sejak 2021 hingga 2026, dengan nilai RM9.36 bilion,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily