JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan berharap penamaan kapal tangki Eagle Vellore di limbungan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) di Pasir Gudang, di sini akan menjadi pemangkin kepada usaha rendah karbon negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kapal yang dimiliki kumpulan MISC Berhad (MISC) itu merupakan salah satu kapal tangki terbesar dalam saiznya di dunia.
Menurut beliau, lebih menarik adalah kapal itu menggunakan gas asli cecair (LNG) sebagai bahan bakar, sekaligus melepaskan karbon kurang 30 peratus daripada kapal biasa.
“Keberatan kapal ini adalah seberat 200,000 tan, manakala ia mampu membawa muatan kargo seberat 300,000 tan. Ini satu kebanggaan kepada kita kerana merupakan sebuah syarikat tempatan.
“Difahamkan, kapal ini akan memulakan pelayaran sulung menuju ke Rotterdam, Belanda esok selepas melakukan persinggahan di beberapa lokasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penamaan kapal berkenaan, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Shell Companies Singapura, Aw Kah Peng; Ahli Lembaga Pengarah MISC, Datuk Abu Huraira Abu Yazid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, S. Rajalingam.
Tambah Hasbi, pihaknya yakin pelancaran kapal tangki itu akan membantu penjanaan ekonomi negara termasuk dengan menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa pengangkutan rendah karbon.
“Malaysia merupakan salah satu daripada negara yang menyokong inisiatif rendah karbon menjelang 2050, dan ini merupakan salah satu daripada langkah diambil, kita mahu pengangkutan laut, udara dan darat juga menjadi lebih rendah karbon pada masa depan,” jelasnya.
Sementara itu, Rajalingam pula memberitahu, kapal tangki berkenaan akan dikendalikan seramai 30 anak kapal setiap kali pelayaran.
“Hari ini dalam sejarah, ia akan kekal sebagai hari yang mengharumkan nama negara kerana kapal sebesar ini, dan yang rendah karbon ini akan belayar ke seluruh dunia dengan mengibarkan bendera Malaysia.
“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kita berjaya lakukan perkara ini. Ia merupakan satu amanah dan kebanggaan kita untuk bantu tingkatkan nama Malaysia di mata dunia,” ujarnya.
Penggerak Daily