Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 dijalankan, ada satu insiden gaduh di media sosial, antara netizen dan sekumpulan artis ekoran keluhan beberapa orang artis akan keadaan ekonomi mereka ketika pandemik.
Susulan itu, pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk memastikan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan mampu menjana pendapatan dan menjaga kebajikan mereka.
Sebagai langkah awal, pada 26 Mac lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Saifuddin Abdullah telah bertemu wakil persatuan-persatuan karyawan seni dan kreatif tempatan menerusi sidang video bagi mendengar dan memahami masalah yang dihadapi dan cadangan penyelesaian serta membawa suara mereka ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurut Saifuddin, bagi meringankan beban yang ditanggung, suntikan dana tambahan telah disalurkan kepada persatuan-persatuan yang dikenali pasti. Peruntukan ini adalah bagi membantu penggiat seni kelainan upaya, warga emas serta mereka yang terlantar sakit dan memerlukan bantuan perubatan.
Memandangkan sumbangan dana hanyalah penyelesaian jangka pendek, KKMM berusaha memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) menerusi agensi-agensinya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Bagi mencapai matlamat itu dan menggalakkan lebih banyak permohonan, Finas dan MDEC telah melanjutkan tarikh tutup permohonan DKD tahun ini kepada 15 Mei 2020 dan KKMM juga telah menetapkan semula tarikh tayangan filem yang terjejas akibat Covid-19.
Bagi memacu semula pelaburan dalam sektor perfileman, Insentif Penggambaran Filem di Malaysia telah ditambah baik dengan kerajaan menurunkan kadar Kelayakan Perbelanjaan Produksi dalam Malaysia bagi penerbit tempatan kepada RM1.5 juta.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK) telah melancarkan program ‘Nyanyi dari Rumah’ dan ‘Muzik dari Rumah’ bagi membantu penyanyi termasuk buskers yang tidak dapat menjana pendapatan akibat pembatalan program-program berkaitan.
Bagi memacu semula industri kreatif yang terkesan dengan COVID-19, Pada 28 Julai 2020, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah melancarkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) bagi membantu memperkasakan semula industri kreatif yang terjejas.
Menerusi PELAKSANA, Peruntukan Dana Kandungan Digital dari RMK 11 sebanyak RM 40 juta juga diperuntukan kepada industri sokongan yang berkaitan dengan penggiat industri. Pelan tindakan ini akan berlangsung selama enam bulan bermula dari bulan Julai hingga31 Disember 2020.
Dalam pada itu, pelan PELAKSANA FINAS telah membahagikan empat inisiatif yang bakal membantu penggiat industri antaranya ialah Dana Kandungan Digital, Geran Pembangunan Model Insan dan Pakej Insentif di bawah Skim Tayangan Wajib.
Di samping itu, PELAKSANA FINAS memberi kebebasan kepada stesen –stesen televisyen untuk berkarya apabila stesen televisyen akan mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat penerbitan yang bersesuaian dengan spesifikasi syarikat tersebut dan memohon pembiayaan Program PELAKSANA melalui Bahagian DANA FINAS.
Kesimpulannya, usaha kerajaan akan lebih mampan dan dimanfaatkan dengan berkesan sekiranya penggiat industri kreatif sentiasa terbuka mengadaptasi, belajar dalam talian dan berinovasi serta mempunyai semangat untuk bangkit semula di sebalik pasca-COVID-19.
Sokongan, kreativiti, inovasi dan pemantauan berterusan kerajaan khususnya KKMM serta agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sangat penting untuk memastikan kelangsungan hidup warga industri kreatif.
PenggerakDaily