JOHOR BAHRU: Pemaju hartanah di negara ini perlu menyediakan kediaman yang menepati kehendak pasaran bagi membolehkan mereka terus bertahan dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.
Pengarah Kumpulan Perbandaran United Malayan Land Berhad (UMLand), K. K. Wong berkata, permintaan pembeli ketika ini adalah terhadap kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah.
Menurut beliau, pemaju tidak boleh terus menerus membina kediaman mewah khususnya ketika rakyat berdepan masalah ekonomi.
“Permintaan untuk membeli kediaman baharu masih ada, tetapi pemaju perlu tahu produk yang menepati kehendak pasaran.
“Antaranya adalah dengan membangunkan kediaman atas tanah seperti teres dua tingkat, pada harga yang mampu dimiliki selain kemudahan seperti akses mudah dan lain-lain.
“Pemaju tidak boleh terus membina kediaman mewah, jika tidak mereka sendiri akan berdepan masalah untuk menjual kediaman tersebut,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Dahlia oleh United Malayan Land Berhad (UMLand ), di Taman Seri Austin, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong.
Tambah Wong, walaupun terdapat kemungkinan kediaman lelong bertambah khususnya selepas tempoh moratorium oleh pihak bank berakhir tahun depan, namun ia tidak akan menjejaskan permintaan terhadap kediaman baharu.
Sementara itu, beliau turut memberitahu projek perumahan Dahlia itu dibangunkan atas tanah berstatus komersial, namun menyedari situasi ekonomi ketika ini, pihaknya memutuskan untuk membangunkan kediaman mengikut kehendak pasaran.
Penggerak Daily