ISKANDAR PUTERI: China Petroleum dan Chemical Industry Federation (CPCIF) telah menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor minyak dan gas negeri ini khususnya di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) Pengerang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, CPCIF merupakan organisasi bukan kerajaan yang memajukan dan menyelaras industri petroleum dan kimia di China.
Katanya, perkara itu disuarakan CPCIF selepas pihaknya mengadakan lawatan ke PIPC, kelmarin.
“CPCIF terdiri daripada 2,000 syarikat, institusi dan persatuan yang memainkan peranan penting dalam memantau operasi ekonomi, dasar industri serta merancang pembangunan industri petroleum dan kimia di China.
“Dalam mesyuarat yang diadakan, mereka menunjukkan minat mendalam untuk melabur di Johor, khususnya PIPC kerana ia merupakan projek mega dengan pelbagai faktor positif seperti lokasi strategik, infrastruktur lengkap dan berpotensi tinggi untuk pertumbuhan industri.
“Menerusi penyeliaan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), PIPC telah dilengkapi keperluan bagi memudahkan pelabur beroperasi seperti sumber tenaga terus daripada jaringan elektrik nasional dan jajaran jalan raya yang telah dinaik taraf,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Kota Iskandar, di sini.
Hadir sama, Ahli Lembaga Eksekutif dan Naib Setiausaha Agung CPCIF, Pang Guanglian serta wakil syarikat berkaitan dari China antaranya Tianjin Bohai Chemical; Shandong Yulong Petrochemical dan China Construction Industrial & Energy Engineering Group.
Tambah Ting Han, pertemuan itu merupakan langkah strategik penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi antara Johor dan China.
“Kami berbesar hati menerima kehadiran delegasi CPCIF dan yakin lawatan ini akan membuka lebih banyak peluang pelaburan yang menguntungkan bagi kedua-dua pihak.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyambut baik minat yang ditunjukkan dan komited menyediakan persekitaran yang kondusif bagi pelabur asing,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily