JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) segera melaksanakan pertanian moden untuk menjadikan Johor sebagai pengeluar produk makanan utama dalam negara.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, saranan itu yang dibuat menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga IRDA baru-baru ini telah mengambil kira kelebihan tanah yang dimiliki di negeri ini, khususnya dalam kawasan Iskandar Malaysia.
Hasni memberitahu demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Komemoratif 15 Tahun Iskandar Malaysia yang dilangsungkan secara maya, di sini kelmarin.
Beliau percaya, usaha itu boleh direalisasikan memandangkan Iskandar Malaysia telah membuktikan bahawa ia mampu mencapai visi dalam menjadi sebuah metropolis yang kukuh dan mampan mengikut standard antarabangsa hasil kerjasama semua pihak termasuk pemain industri.
“Pembangunan yang berlaku tidak hanya melibatkan wilayah ini malah akan turut memberi manfaat kepada kawasan sekitar, sekaligus menyumbang kepada kemakmuran negeri Johor menerusi pelaburan dan inisiatif yang telah dilaksanakan,” katanya.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Eskekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.
Sementara itu, Hasni berkata bersempena kempen tersebut, IRDA telah memperkenalkan Inisiatif Pemulihan Sosio-Ekonomi Mampan atau dikenali sebagai SECURE@IskandarMalaysia.
“Melalui inisiatif ini, mereka yang berminat untuk menyertai pertanian moden yang kini semakin popular boleh mengikuti Program Pertanian Bandar Iskandar Malaysia.
“Selain itu, inisiatif lain yang turut dianjurkan termasuklah program YouthToBiz, program IM Makmur dan Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily