Categories
Business

PUSAT DATA HIJAU TERIMA PELABURAN RM15 BILION

KULAI: Johor dijangka menerima pelaburan berjumlah RM15 billion dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek pembinaan Taman Pusat Data Hijau YTL di sini, yang pertama seumpama di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi fasa pertama projek berkenaan, sejumlah RM1.5 bilion akan dilaburkan syarikat konglomerat tempatan YTL Limited, sebelum tapak berkenaan disewakan kepada peneraju e-perdagangan terkemuka dunia, Sea Limited yang juga merupakan pemilik Shopee.

Menurut beliau, pembinaan Taman Pusat Data Hijau YTL yang akan mengaplikasikan penggunaan tenaga solar itu bakal dibangunkan di kawasan seluas 111 hektar.

“Menerusi pembinaan taman pusat data hijau ini, Johor menjangka akan menerima pelaburan bernilai RM15 billion dalam tempoh 10 tahun, dengan fasa pertama disasarkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2024.

“Termasuk Taman Pusat Data Hijau YTL ini, Johor kini memiliki tiga pusat data, iaitu di Taman Teknologi Nusajaya dan juga Lembah Teknologi Sedenak. Ini sekaligus menjadikan Johor sebagai hab pusat data di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pusat Data Sea di Taman Pusat Data Hijau YTL di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim; Pengarah Urusan, YTL Power International Bhd. Datuk Yeoh Seok Hong dan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Sea Ltd. Ye Gang.

Pusat Data Hijau YTL bakal menyediakan kapasiti simpanan sehingga 500 megawatt (mw), manakala Pusat Data Sea bakal menampung kapasiti data sehingga 72 mw.

Tambah Onn Hafiz, Johor mempunyai potensi untuk menjadi peneraju penyedia pusat data antarabangsa berdasarkan beberapa kriteria antaranya infrastruktur, keluasan tanah, modal insan dan juga kemudahan logistik.

“Bagi rantau Asia Tenggara, permintaan untuk pusat data dijangka akan berkembang pada tahap 12.9 peratus setiap tahun dengan nilai pusat data dunia bakal mencecah USD517.17 menjelang 2030.

“Pastinya Johor tidak mahu melepaskan peluang untuk turut sama menjadi pemain penting penyediaan pusat data antarabangsa khususnya di rantau ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ye Gang memberitahu, pihaknya komited dalam melaksanakan pelaburan jangka masa panjang bagi pembangunan ekonomi digital di Malaysia khususnya di Johor.

Dalam pada itu, Seok Hong pula memaklumkan pihaknya akan melakukan yang terbaik dalam usaha menjadikan Pusat Data Hijau YTL di Kulai sebagai salah satu peneraju pusat data bukan sahaja di Malaysia tetapi juga peringkat antarabangsa.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *