Sepanyol mengumumkan darurat pada Ahad dan perintah berkurung pada waktu malam untuk seluruh negara itu kecuali di Canary Islands untuk mengekang penularan kedua Covid-19.
Perintah darurat kali kedua itu akan berakhir pada awal Mei, kata Perdana Menteri Pedro Sanchez, menerusi ucapan di televisyen.
“Kita menghadapi situasi yang amat sukar,” tegasnya.
Langkah itu dipersetujui selepas Kabinet negara itu mengadakan mesyuarat selama dua jam setengah.
Menerusi perintah itu, perintah berkurung akan berkuat kuasa antara 11 malam dan 6 pagi.
Bagaimanapun, kerajaan berhasrat untuk melanjutkan perintah darurat selama 15 hari itu, untuk tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, Sanchez tidak menolak sama ada perintah berkenaan akan ditarik balik, jika keadaan mengizinkan untuk berbuat demikian.
“Perintah darurat adalah langkah terbaik untuk mengurangkan kadar jangkitan,” katanya.
Pada Rabu, Sepanyol menjadi negara Eropah pertama yang merekodkan lebih sejuta kes jangkitan dengan lebih 35,000 kematian.
Dalam pada itu, perintah darurat berkenaan akan membolehkan setiap wilayah mempunyai kuasa untuk menyekat pergerakan masuk dan keluar ke kawasan masing-masing.
Pihak berkuasa wilayah juga diberikan kuasa untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan perintah berkurung berdasarkan situasi setempat.
Sepanyol sebelum ini dikenakan lockdown (sekatan pergerakan) ketika perintah darurat kali pertama antara 15 Mac hingga 21 Jun.
Ia adalah antara kawalan pergerakan paling ketat bagi negara di Eropah.
Menurut Sanchez, beliau akan mencari apa jua jalan untuk mengelak lockdown kali kedua.
“Marilah kita duduk di rumah. Lebih lama kita duduk di rumah, kita dan ramai lagi akan terlindung (daripada jangkitan Covid-19),” katanya.
Sumber: Harian Metro