ISKANDAR PUTERI: Penyertaan Malaysia ke dalam organisasi antara kerajaan iaitu BRICS akan memberi impak besar kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, BRICS yang terdiri daripad Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mewakili kuasa ekonomi yang pesat berkembang di peringkat global.
“Penyertaan Malaysia dalam BRICS akan membuka akses kepada pasaran-pasaran baharu dan meningkatkan pelaburan asing ke dalam negara ini.
“Justeru itu, kerajaan negeri mengalu-alu dan menyokong hasrat kerajaan persekutuan untuk menyertai BRICS. Langkah ini akan membawa potensi pelaburan dan perdagangan lebih besar kepada Johor melalui JS-SEZ,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nazri Abdul Rahman (PH-Simpang Jeram) berhubung apakah kesiapsiagaan JS-SEZ menyambut hasrat Malaysia menyertai BRICS di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sementara itu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan pakej insentif kepada pelabur di JS-SEZ ketika Belanjawan Madani 2025 pada 18 Oktober ini.
Selain itu katanya, ketika ini dokumen perjanjian JS-SEZ sedang dimuktamad antara pelbagai kementerian serta agensi peringkat persekutuan dan negeri serta Singapura.
“Memorandum persefahaman JS-SEZ itu dijangka akan ditandatangani semasa Pemukiman Tahunan antara kerajaan Malaysia dengan Singapura pada 8 Disember, tahun ini.
“JS-SEZ merupakan langkah monumental dalam melakar Johor sebagai negeri maju, dinamik dan mampan. Ia berpotensi membawa Johor ke tahap pembangunan lebih tinggi melalui penjanaan pelaburan, penciptaan pekerjaan, pembangunan masa depan lebih lestari serta pengukuhan daya saing ekonomi,” ujarnya lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pihaknya tidak akan meminggirkan kawasan utara Johor sementara selatan Johor sedang menikmati pembangunan ekonomi dan infrastruktur akibat JS-SEZ.
“Pertumbuhan pesat di kawasan JS-SEZ akan menyumbang kepada peningkatan hasil cukai dan bukan cukai negeri. Hasil ini akan dapat digunakan untuk menambahbaik infrastruktur di kawasan-kawasan luar JS-SEZ,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily