ISKANDAR PUTERI: Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City bakal menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi negeri, yang mana sekaligus akan memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan usaha pelaksanaan SFZ Forest City mencapai potensi sebenarnya.
Untuk itu katanya, agensi kerajaan negeri akan bekerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan pusat dan juga pemain-pemain industri.
“Insentif-insentif SFZ Forest City yang diumumkan ini sangat menarik, dan saya yakin ia akan menjadi katalis kepada kepada pembangunan ekonomi bukan sahaja negeri ini, tetapi juga Malaysia.
“Saya juga percaya dengan pengumuman pakej insentif ini, ia akan menarik kemasukan lebih banyak pelaburan ke negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pengumuman Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City di Hotel Marina, di sini hari ini.
Berkenan menyempurnakan majlis, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Turut hadir, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV), Datuk Md. Othman Yusof.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya percaya inisiatif ekonomi berimpak tinggi itu bakal meletakkan Johor khususnya dalam radar ekonomi kewangan global.
Pada 25 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Forest City akan dijadikan sebagai Zon Khas Kewangan baharu negara bertujuan meningkatkan pelaburan di kawasan berkenaan, sekali gus merancakkan ekonomi setempat dan kawasan sekitarnya.
Penggerak Daily