Transaksi e-dagang melonjak 1,380 peratus pada Ogos 2020 berbanding setahun lalu kerana sekatan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 berjaya mempercepat penerapan cara membeli-belah dan penggunaan atas talian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pengurus Besar Commerce.Asia Enterprise, Aaliyah Soraya berkata, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, kebanyakan isi rumah kini memilih untuk membeli-belah secara dalam talian kerana ia lebih selesa.
Sebelum tercetusnya Covid-19, syarikat itu yang juga antara penyedia e-dagang terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, pada kebiasaannya menyaksikan pertumbuhan 50 hingga 100 peratus setahun.
“Pasaran e-dagang tempatan akan terus berkembang pesat walaupun selepas berakhirnya PKP dan untuk beberapa tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac 2020, yang kemudiannya dilonggar kepada PKP Bersyarat pada 4 Mei dan PKP Pemulihan mulai 10 Jun hingga 31 Disember 2020.
“Kajian dalaman kami menunjukkan rakyat Malaysia memperuntukkan 70 peratus masa mereka menghadap platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp and Instagram ketika fasa PKP berbanding sebelum PKP,” katanya.
Data Commerce.Asia Enterprise turut menunjukkan jumlah tontonan di Instagram dan Facebook Live meningkat dua kali ganda pada minggu pertama PKP.
“Trend penyertaan berterusan di platform media sosial semakin meningkat dengan peranti pilihan ialah telefon mudah alih,” katanya.
Rakyat Malaysia pada umumnya, mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan diri mereka kerana data menunjukkan produk kategori kesihatan dan penjagaan diri menyaksikan lonjakan jualan tahun ke tahun sebanyak 800 peratus.
Sumber: Awani