JOHOR BAHRU: Pusat Ekonomi Digital Johor (JDEC) bekerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya iaitu Telekom Sales and Services Sdn. Bhd. (TSSSB) untuk membantu pelbagai sektor perusahaan kecil dan sederhana di negeri ini melakukan transformasi ke arah pendigitalan ekonomi.
Penasihat JDEC, Datuk Tee Siew Kiong berkata, TSSSB memperuntukkan geran sebanyak RM20 juta Skim Bantuan Pembangunan Digitalisasi khususnya melibatkan ‘Smart ICT Services’, ‘Safety and Security’ serta ‘Smart Mobility’.
Menurut beliau, mana-mana syarikat yang memenuhi syarat permohonan boleh menerima geran sekurang-kurangnya RM50,000.
“Kalau memenuhi syarat, mereka sekurang-kurangnya dapat RM50,000 setiap syarikat, manakala tempoh bayaran balik skim ini adalah satu hingga tiga tahun dengan kadar rendah.
“Daripada jumlah geran yang diterima, antara 5 hingga 20 peratus adalah disalurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) sebagai Geran Digital Transformasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara JDEC dan TSSSB yang diadakan di pejabat JDEC, Danga Bay, di sini hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani antara Siew Kiong dan juga Ketua Pegawai Eksekutif TSSSB, Mohd. Erly Ab. Rahim.
Sementara itu, Mohd. Erly pula memberitahu, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan JDEC dalam program perintis tersebut yang pertama kali diperkenalkan pihaknya.
“Dalam kerjasama ini, kita akan memberi bantuan dalam bentuk solusi meliputi rangkaian internet, solusi perniagaan dan juga solusi digital, semua itu sama seperti tawaran yang disediakan Telekom Malaysia sendiri kepada syarikat-syarikat yang menjalin kerjasama bersama.
“Hasrat kita adalah untuk membantu sektor perniagaan PKS untuk terus berdaya saing dalam perniagaan digital ketika ini,” jelasnya.
Penggerak Daily