ISKANDAR PUTERI: Johor bakal menerima manfaat besar sekiranya projek Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, di sini dilaksanakan seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) antara yang akan menerima impak secara langsung.
Katanya, projek tersebut bakal meningkatkan pelaburan dan aktiviti perdagangan di kawasan perindustrian dan komersial sepanjang laluan WCE.
“WCE akan memudahkan akses antara dua pelabuhan utama negara iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor dan Pelabuhan Klang di Selangor.
“Lebuh raya itu juga akan memudahkan pengangkutan barangan dan mempercepat rantaian bekalan sekali gus menarik lebih banyak pelabur domestik dan asing dalam sektor logistik dan pembuatan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini.
Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perancangan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah akan diberi perhatian bermula tahun depan dengan mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP).
Selain WCE, projek lain yang akan turut menggunakan pendekatan PPP adalah pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 di sini serta Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Lori Johor (JTA), Chai Pei Yoon pula memberitahu, projek WCE bakal meningkatkan kecekapan logistik selain mengurangkan kesesakan lalu lintas antara ibu negara dan selatan tanah air.
“Projek ini juga dapat meningkatkan kerjasama logistik antara Malaysia dan Singapura sekali gus merancakkan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.
“Walaubagaimanapun, JTA berharap kerajaan akan mengambil kira keperluan pemain industri logistik dalam pelaksanaan projek ini bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan sempurna,” katanya yang menambah yakin projek itu bakal memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
Satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan Johor ke Lembah Klang bagi pengangkutan darat seperti lori, bas, kereta dan motosikal adalah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mula beroperasi pada tahun 1994.
Penggerak Daily