ANWAR IBRAHIM PM KE-9, BETUL-BETUL KE SEMBANG?
Oleh: Ahmad Roi
Media sosial riuh hari ini, semua portal bagai menjerit “tukar kerajaan, tukar kerajaan!”. Lagi tambah riuh, Bossku sudah ‘topup’ bekalan Super Ring.
Tadi Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim umum kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang. Macam cerita 16 September 2008, kalau YDP Agong berkenan, ke Putrajayalah beliau. Terhapus sumpahan PM tepi.
Macam-macam reaksi netizen. Ada serius berkerut dahi. Ada gelak terbahak-bahak. Ramai juga yang bingung. Apa yang terjadi? Anwar Ibrahim buat ‘comeback’?
“Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh”, kata Khairy Jamaluddin.
“Sebaliknya mesyuarat Jemaah Menteri baru selesai”. Tentunya komen pendek di laman sosial respon kepada pengumuman Anwar Ibrahim siang tadi.
Dalam pengumuman siang tadi, Anwar mendakwa mempunyai majoriti kukuh, hampir dua pertiga kerusi parlimen. Wow!
Namun Anwar enggan mendedahkan jumlah ahli parlimen yang menyokongnya.
Dalam gelak-gelak mengenangkan 16 September punya cerita, kenyataan Zahid Hamidi membuatkan netizen macam yakin dengan sokongan yang diperolehi Anwar Ibrahim.
“Saya dimaklumkan ramai ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati
pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan”, kata Zahid Hamidi mengulas pengumuman Anwar.
Persoalan yang berlegar-legar di kepada kita, betul ke Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri (PM), gantikan Muhyiddin yang baru saja mengumumkan bantuan tambahan menghadapi wabak COVID-19.
Bagi Roi, jalan Anwar menuju Putrajaya sayup lagi. Kenapa?
Sebabnya begini, dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) mengatakan “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Bermakna, kuasa melantik Perdana Menteri dan membubarkan Dewan Rakyat di tangan YDPA, bukan majoriti Dewan Rakyat. Manakala hanya PM, Muhyiddin Yassin yang boleh memilih sama ada mahu letak jawatan atau meminta YDPA membubarkan parlimen.
Kalau Anwar memperoleh majoriti ahli Dewan Rakyat sekalipun, belum tentu secara automatik boleh jadi PM.
Tambahan, Muhyiddin hari ini tidak meletak jawatan seperti yang dibuat Tun dalam Langkah Sheraton.
Jadi, semua ahli Parlimen kena pilih, sama ada mematuhi keputusan YDPA – menyokong Muhyiddin Yassin sebagai PM atau bertindak sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.
Benda ini kena faham, sokongan ahli Parlimen tidak boleh dijadikan asas secara automatik membatalkan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai PM kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang ahli Parlimen boleh buat kalau tidak menyokong Muhyiddin Yassin adalah dengan mendesak agar PM membubarkan parlimen. Buatlah undi tidak percaya.
Tapi, itu tak bermakna Anwar terus dipilih sebagai PM.
Tambahan lagi, pakar perlembagaan, Prof Shamrahayu Aziz ajukan satu soalan dalam facebooknya, “Bolehkah seorang Ahli Parlimen membuat kenyataan media dengan menyatakan satu kerajaan telah jatuh? Adalah perlu diingat bahawa terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan ini. Sila rujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan”.
Jadi, Anwar Ibrahim sebagai PM ke-9 betul-betul ke sembang? Pembaca tentulah sendiri.
PenggerakDaily