JOHOR BAHRU: Usahawan tempatan khususnya penjaja dan peniaga kecil-kecilan berharap kerajaan akan memberi lebih tumpuan kepada golongan berkenaan dalam Bajet 2021 yang akan dibentangkan, Jumaat ini.
Setiausaha Persatuan Penjaja Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB), Mohammad Salezan Mohd. Salleh berkata, harapan itu kerana terdapat peningkatan penjaja dan peniaga kecil-kecilan dalam tempoh beberapa bulan ini.
Katanya, majoriti daripada usahawan baharu itu adalah mereka yang kehilangan pekerjaan sejak pandemik Covid-19 bermula.
“Ekoran situasi semasa akibat Covid-19, ramai pihak yang kehilangan kerja dan punca pendapatan. Keadaan ini memaksa mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan sama ada di rumah atau dengan membuka gerai kecil.
“Kewujudan golongan ini boleh diibaratkan sebagai cendawan yang tumbuh selepas hujan ketika ini, jadi kami berharap kerajaan dapat memberi lebih tumpuan kepada golongan terlibat.
“Penumpuan yang diberi oleh kerajaan akan dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam bidang yang baharu diceburi,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad sebelum ini pernah memaklumkan bahawa Johor merupakan antara lima negeri yang mencatatkan kehilangan pekerjaan tinggi dalam kalangan rakyatnya selain Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang.
Mereka yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan di negeri ini melibatkan pelbagai sektor, termasuklah yang bekerja di negara jiran, Singapura.
Sementara itu, Mohammad Salezan turut memberitahu, pelbagai pakej bantuan yang diumumkan kerajaan buat golongan usahawan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diyakini dapat membantu golongan terbabit meneruskan operasi harian mereka.
“Namun dalam masa sama, terdapat segelintir penjaja dan peniaga kecil-kecilan yang tidak menerima sebarang bantuan disediakan kerajaan kerana pelbagai masalah antaranya dokumentasi yang tidak lengkap, karenah birokrasi dan lain-lain.
“Ekoran perkara itu, persatuan terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan ahlinya dapat meneruskan perniagaan mereka sama ada dengan mengurangkan kadar sewaan premis atau memberi pinjaman sebagai modal permulaan,” ujarnya lanjut.
Mohammad Salezan turut memberitahu, sehingga hari ini, seramai 6,107 penjaja dan peniaga kecil-kecilan berdaftar dengan PPPPIKMJB membabit pelbagai jenis perniagaan, majoritinya penyediaan makanan dan minuman.
Penggerak Daily