JOHOR BAHRU: Bajet 2021 dibentangkan kerajaan semalam menunjukkan kematangan khususnya dalam mengiktiraf sektor pengangkutan dan logistik bagi menjamin kesejahteraan rakyat dalam situasi tidak menentu ketika ini.
Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Zaly Shah berkata, belanjawan itu merangkumi tiga strategi utama bagi sektor pengangkutan dan logistik.
Menurut beliau, strategi pertama bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran pekerja, justeru sektor berkenaan perlu memanfaatkan inisiatif disediakan kerajaan.
“Antara inisiatif termasuklah program latihan di bawah program Penjana Kerjaya. Ini akan memanfaatkan industri pengangkutan dan logistik secara langsung apabila majikan layak menuntut kos latihan lebih tinggi iaitu RM7,000 berbanding RM4,000 bagi melatih pekerja mendapatkan kemahiran lebih tinggi atau sijil profesional.
“Badan profesional industri pengangkutan dan logistik iaitu The Chartered Institute of Logistics and Transport in Malaysia (CILTM) juga perlu mengambil peluang dengan menyediakan lebih banyak program pensijilan profesional bagi pekerja sektor ini.
“Perkara sama perlu diambil perhatian universiti awam dan swasta iaitu dengan menawarkan program profesional bagi sektor logistik dan pengangkutan melibatkan peruntukan RM1 bilion untuk meningkatkan kemahiran pekerja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, strategi kedua iaitu memperkasa perkhidmatan pengangkutan awam menerusi pembiayaan Program Subsidi Upah dapat meringankan beban operator pengangkutan awam yang mengalami penurunan mendadak penumpang.
Katanya, sistem pengangkutan awam terus mendapat perhatian menerusi program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti di Bandaraya Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.
“Pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara yang dilanjutkan bagi tempoh dua tahun dari 1 Januari 2021–31 Disember 2022 juga amat dialu-alukan.
“Langkah ini akan menggalakkan lagi operator pengangkutan awam menyediakan perkhidmatan lebih efisien, selesa, selamat dan berkualiti bagi menarik minat masyarakat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Zaly turut berkata, strategi ketiga pula adalah menjadikan sistem pengangkutan dan logistik sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi, integrasi nasional serta peningkatan daya saing negara.
“Peruntukan RM1.3 bilion untuk projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 920 kilometer akan merapatkan jurang sosioekonomi penduduk luar bandar dengan penduduk bandar.
“Ini sekaligus dapat mengurangkan kadar penghijrahan penduduk ke bandar dan mengurangkan tekanan pembangunan di kawasan bandar.
“Peruntukan ini juga mampu memperluaskan lagi peluang industri desa untuk memasarkan produk mereka ke bandar utama dengan lebih cepat pada kos yang lebih rendah,” katanya lanjut.
Penggerak Daily