ISKANDAR PUTERI: Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan semalam dilihat dapat membantu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) melaksana pelbagai inisiatif pembangunan sosial, insaniah dan infrastruktur bagi manfaat rakyat di wilayah ekonomi ini.
Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, RM690 juta yang diperuntuk lima koridor pembangunan ekonomi membuktikan keprihatinan kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan kawasan luar bandar.
“Sebahagian besar peruntukan bagi pelaksanaan program pembangunan sosial Iskandar Malaysia adalah untuk pelaksanaan pelbagai program kesejahteraan rakyat di berdasarkan kejayaan program tahun lalu.
“Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) telah mewujudkan 1,811 peluang kerja dalam 252 syarikat melibatkan 65 peratus sektor pembuatan dan 35 peratus sektor perkhidmatan dengan 70 peratus daripadanya diisi golongan wanita.
“Kalangan yang turut mendapat manfaat adalah peserta dari golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), pesara, mereka yang diberhentikan kerja dan kalangan graduan menganggur,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Ismail, peruntukan kepada sektor Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara dan keputusan untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan serta suntikan dana akan membangkitkan mereka untuk terus berdaya tahan dalam berdepan suasana ekonomi pasca pandemik yang amat mencabar.
“Di Iskandar Malaysia, kami turut membantu koperasi kampung yang menyediakan pelbagai program dan aktiviti terutama melibatkan eko-pelancongan yang telah memberi manfaat kepada penduduk luar bandar.
“Sementara itu, IRDA turut menyambut baik pembukaan sebuah pusat sehenti di Johor tahun depan bagi pelawat perniagaan jangka pendek dari Singapura dengan kos RM10 juta yang mana usaha ini mampu meningkatkan perniagaan dan pelaburan dari negara jiran itu,” ujarnya.
Penggerak Daily