ISKANDAR PUTERI: Rintihan dan rungutan usahawan tempatan khususnya daripada sektor industri kecil dan sederhana (IKS) akan diberi tumpuan dalam Belanjawan Johor 2024.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan yang akan dibentang November ini itu memberi fokus kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran produk golongan berkenaan di peringkat domestik dan juga antarabangsa.
Menurut beliau, agensi yang diberikan amanah melaksana perkara itu termasuklah Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).
“Ada banyak produk, makanan, perkhidmatan atau pakaian daripada syarikat tempatan Johor mempunyai yang boleh diketengahkan dan kita akan bantu mereka agar dapat melonjak ke tahap seterusnya.
“Sehubungan itu, golongan usahawan ini akan bertemu dengan exco terlibat dan juga kepimpinan PUJB untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung keperluan dan isu dihadapi mereka menjelang Belanjawan Johor 2024,” katanya kepada pemberita selepas melawat Mini Karnival Maju Johor yang diadakan di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Onn Hafiz turut memberitahu, pihaknya menerima maklum balas positif daripada golongan IKS tempatan khususnya yang berjaya merekodkan jualan antara puluhan ribu hingga jutaan ringgit.
“Syukur Alhamdulillah, saya dapat jumpa dengan usahawan-usahawan Johor. Niat kita adalah untuk terus membantu peniaga meningkatkan lagi jualan mereka supaya dapat bersaing bukan sahaja domestik tetapi juga antarabangsa.
“Usahawan-usahawan ini jug dilihat telah bersedia menyahut cabaran itu,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, berhubung program berkenaan, PUJB memilih 13 produk yang dilihat berpotensi besar untuk diketengahkan ke tahap lebih tinggi, antaranya jenama seperti Haok Ek, Lazy Monday’s dan Mi Sayuran.
Untuk rekod, terdapat lebih daripada 30,000 usahawan tempatan berdaftar di bawah PUJB setakat tahun ini.
Penggerak Daily