JOHOR BAHRU: Festival Kraf Johor 2023 yang berlangsung di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall di sini bermula semalam hingga 1 Januari depan menyasarkan kehadiran seramai lebih 100,000 pengunjung.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, pihaknya turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM8 juta.
Menurut beliau, penganjuran Festival Kraf Johor 2023 itu merupakan kali kesepuluh ia diadakan dalam usaha memasarkan pelbagai produk kraf tradisional dari seluruh negeri.
“Seramai 188 usahawan pelbagai produk kraf terlibat dalam festival ini. Kita utamakan usahawan-usahawan yang berdaftar bersama kita, ini antara kelebihan dan manfaat yang diterima mereka.
“Festival sama turut diadakan mengikut negeri-negeri lain, dan bagi negeri Johor, selain menumpukan kepada pengunjung tempatan di negeri ini, kita juga sasarkan pengunjung dari Singapura dan Indonesia yang mana lokasinya amat berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan kerja ke tapak Festival Kraf Johor 2023, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.
Tambah Mohd. Yusri, festival itu menghimpunkan pelbagai produk dan hasil kraf melibatkan lima bidang iaitu kraf tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan juga aneka kraf.
“Penganjuran festival ini juga diharap dapat terus meningkatkan lagi pengetahuan dan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda terhadap produk kraf yang berindentitikan Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan Watikah Pelantikan Adiguru Kraf 2023 kepada seramai lima usahawan kraf melibatkan Adiguru Kraf Kaca Kristal, Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas, Adiguru Kraf Anyaman Mahmeri, Adiguru Kraf Anyaman Buluh dan Adiguru Kraf Gambus.
“Adiguru Kraf ini merupakan usahawan kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf yang beridentitikan tempatan. Mereka akan memainkan peranan penting dalam usaha memelihara dan memulihara seni kraf negara melalui kesungguhan dan kesediaan mewariskan ilmu kepada generasi pelapis,” tambahnya.
Penggerak Daily