JOHOR BAHRU: MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencadangkan agar harga gula peket sekilogram dinaikkan kepada RM3.85, kenaikan sebanyak RM1 berbanding harga jualan ditetapkan ketika ini iaitu RM2.85 sekilogram.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana kos operasi telah meningkat atas pelbagai faktor global.
Menurut beliau, pihaknya juga kini sedang beroperasi dalam kerugian.
“Kita telah memberikan cadangan kepada kerajaan untuk menaikkan harga jualan gula peket sekilogram kepada RM3.85, berbanding RM2.85 sekilogram ketika ini.
“Langkah ini perlu dibuat kerana kos pengeluaran sudah tidak boleh dikawal atas beberapa faktor antaranya perang di Ukraine, perang di Timur Tengah dan juga kejatuhan nilai matawang ringgit.
“Oleh itu kita perlu jual pada harga yang bersesuaian, kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak kerajaan berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena program lawatan media ke MSM Johor, di Pasir Gudang, di sini hari ini.
Sementara itu, Hasni turut mengulas rancangan syarikat tersebut untuk mengeksport gula ke pasaran Singapura, tahun ini.
“Berkenaan eksport gula, pasaran serantau yang sedang kita berikan tumpuan adalah Singapura, kita jangka akan mula eksport sama ada suku pertama atau suku kedua tahun ini.
“Namun ingin ditegaskan, langkah mengeksport gula itu tidak akan menjejaskan bekalan gula di dalam pasaran tempatan. Tidak perlu bimbang kerana eksport gula tidak beri impak kepada pasaran tempatan, jangan risau,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan memberikan penekanan terhadap usaha keselamatan makanan khususnya melibatkan produk gula kerana ia merupakan satu keperluan asas rakyat negara ini.
“Kita perlu mempunyai sumber gula mentah sendiri, antara cadangan termasuklah mewujudkan ladang tebu sendiri. Ini penting kerana ketika ini negara seperti India dan Thailand sudah melarang eksport gula mentah, dan bekalan kita terima dari Brazil.
“Apa akan berlaku sekiranya Brazil juga melarang eksport gula mentah mereka, jadi perkara ini perlu diberikan perhatian untuk keselamatan makanan Malaysia,” jelasnya.
Penggerak Daily