JOHOR BAHRU: Sistem e-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mula dilaksanakan sejak 1 Ogos lalu telah mencatatkan sejumlah 3.8 juta transaksi setakat semalam.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah transaksi itu menunjukkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap pelaksanaan inisiatif itu mendapat sambutan baik.
Menurut beliau, pihaknya akan terus menjalankan siri jelajah ke seluruh negara untuk meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman rakyat Malaysia berhubung perkara ini.
“Tahap kesedaran pemilik syarikat dan peniaga memang sangat baik. Seperti contoh bagi kategori pertama iaitu perniagaan yang merekodkan nilai jualan melebihi RM100 juta setahun, 3,500 syarikat daripada 5,000 yang disasarkan telah menggunakan sistem ini dalam tempoh 11 hari bermula.
“Manakala baki 1,500 itu bukan mereka tidak guna tetapi kita telah berikan kelonggaran enam bulan, sementara itu mereka gunakan e-Invois yang disatukan dan perlu dihantar sebelum 7 haribulan setiap bulan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Jelajah MADANI di Hotel Amari, di sini semalam.
Sementara itu, Hui Ying turut memaklumkan LHDN akan mengekalkan jumlah jualan bagi kategori ketiga iaitu lebih RM150,000 setahun buat waktu ini.
“Memang ada pertanyaan dan perbincangan soal itu, namun buat waktu ini jumlah tersebut akan dikekalkan terlebih dahulu dan program ini akan dilaksanakan seperti yang dirancang,” jelasnya.
Dalam pada itu, program anjuran Pejabat Timbalan Menteri Kewangan itu dihadiri lebih daripada 100 pengusaha dan pemilik syarikat di negeri ini yang mahu mendapatkan maklumat lanjut tentang pelaksanaan e-Invois oleh kerajaan.
Penggerak Daily