PASIR GUDANG: Pemaju perumahan Mah Sing Group Bhd. (Mah Sing) akan membangunkan lebih 1,800 unit kediaman mampu milik di projek pembinaan mereka dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Operasi, Benjamin Ong Chin Yee berkata, pihaknya komited dalam memenuhi permintaan pasaran yang mahukan kediaman mampu milik pada harga RM500,000 ke bawah.
Katanya, permintaan kediaman ketika ini hadir daripada mereka dalam golongan M40.
“Sebagai pemaju yang mendengar kehendak majoriti rakyat negara ini, kami komited untuk menyediakan kediaman mampu milik pada anggaran harga antara RM380,000 ke RM480,000.
“Kami juga memberi jaminan kediaman mampu milik yang dihasilkan akan menitikberatkan kualiti pembinaa, ia bukanlah rumah yang dibina secara ala kadar,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan sempena Pelancaran Kediaman Acacia di Galeri Jualan Mah Sing, di sini hari ini.
Kediaman Acacia yang terletak di Meridin East, di sini itu melibatkan sebanyak 187 unit rumah dengan keluasan 1,838 kaki persegi yang dijual pada harga bermula RM498,000.
Sementara itu, Chin Yee turut mengatakan kediaman yang dijual pihaknya turut mengambil kira nilai hartanah itu pada masa akan datang.
“Mah Sing tidak hanya membina rumah, tetapi kita juga turut membangunkan kawasan persekitaran bagi memastikan hartanah ini menjadi satu pelaburan buat pembeli,” ujarnya.
Penggerak Daily