PASIR GUDANG: Persatuan Nelayan Orang Asli Kuala Masai berdepan masalah lambakan hasil laut yang tidak terjual di khususnya apabila peniaga di Pasar Bayu, Tebrau dekat sini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Pengerusinya, Kelah Lah, 40, berkata, situasi berkenaan menyebabkan pendapatan penduduk di kampung berkenaan terjejas, kerana majoriti mereka merupakan nelayan.
Sehubungan itu pihaknya berharap pemborong atau mana-mana pihak dapat membantu dengan membeli hasil laut yang diperoleh mereka secara harian.
“Kami berharap pemborong boleh datang ke kampung ini dan membeli hasil laut nelayan di sini secara terus tanpa penglibatan orang tengah.
“Ini kerana apabila kami menghantar hasil laut ke pasar berhampiran seperti Pasar Bayu, mereka menolak untuk membelinya.
“Alasan yang diberi adalah mereka juga menghadapi masalah kewangan ekoran jumlah pengunjung dan pembeli di pasar berkenaan telah berkurang sejak PKP dilaksana,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Kuala Masai, di sini hari ini.
Tambahnya, sebelum ini nelayan di kampung berkenaan memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan, namun kini pendapatan mereka dianggarkan sekitar RM700 hingga RM1,000 sahaja.
Ujarnya, selain daripada pelaksanaan PKP, penternakan kupang yang diusahakan nelayan kampung berkenaan turut terjejas akibat daripada projek pembangunan berdekatan perkampungan itu.
“Selain daripada keadaan air yang semakin kotor, projek penambakan turut mewujudkan bahan kimia dalam air di kawasan berkenaan.
“Selepas tamat kerja penambakan itu, mereka membina sebuah benteng bagi melindungi kawasan penternakan kupang ini,” katanya lanjut.
Tambah Kelah, jika benteng berkenaan tidak dibina, majoriti daripada kupang berkenaan akan rosak dan nelayan akan mengalami kerugian hingga 90 peratus.
“Namun dengan adanya benteng ini, kami dapat menuai dengan anggaran kira-kira 40 hingga 50 peratus.
“Sehubungan itu kami berharap masalah yang dihadapi pihaknya tidak akan berlarutan kerana kesemua 77 buah keluarga yang tinggal di kampung ini menampung hidup keluarga dengan hasil laut,” ujarnya lagi.
Penggerak Daily